Vesel Nelayan Tempatan Ditahan
- nabalunews
- 25 minutes ago
- 1 min read

13 Mei 2025
KOTA KINABALU: Tindakan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang beroperasi dalam keadaan mencurigakan membawa padah apabila ia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Vesel nelayan berkenaan berjaya ditahan pada jam 4.10 petang di kedudukan 31.6 batu nautika barat, Tanjung Aru, di sini.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata, vesel berkenaan dikesan ketika Kapal Peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan perairan Beting Menggalong.

Katanya, pemeriksaan terhadap vesel berkenaan mendapati juragan dan lima kru berkenaan telah melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memenuhi keperluan keanggotaan minimum yang ditetapkan.
“Lebih mengejutkan, dua daripada kru berkenaan didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri mahupun permit kerja yang sah, sekali gus melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Vesel dan kru bersama muatan ikan seberat kira-kira 900 kilogram itu terus ditahan dan diiringi balik ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM200,000.
Sementara itu, Mohd Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang dan mengabaikan aspek keselamatan serta peraturan operasi di laut.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperketatkan pemantauan, khususnya di kawasan panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan vesel nelayan ingkar terhadap peraturan yang ditetapkan.
“Oleh itu, orang awam terutamanya komuniti maritim disarankan untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.
Comentarios