Dadah Bernilai RM3.25 Juta Dirampas
- nabalunews
- 39 minutes ago
- 2 min read

20 Mei 2026
KOTA KINABALU: Dua sindiket pengedaran dadah bernilai keseluruhan lebih RM3.25 juta berjaya dipatahkan menerusi beberapa siri serbuan dan tangkapan di empat daerah berasingan.
Hasil operasi berkenaan, polis berjaya merampas lebih 63 kilogram (kg) syabu, 31 kg cecair THC, 4.49 gram ganja dan sekilogram serbuk ekstasi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun berkata, operasi pertama dilaksanakan pada 3 Mei lalu apabila seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di Taman Heng Long, Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna.

Katanya, pemeriksaan menemukan 10,000 kartrij vape bersama cecair disyaki THC dengan jumlah rampasan seberat 31 kilogram bernilai kira-kira RM93,000.
“Rampasan melibatkan 10,000 kartrij pelbagai jenis vape dianggarkan seberat 20 kg bersama dua botol gelen berwarna biru mengandungi cecair disyaki THC seberat 11 kg.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 31 kilogram dengan nilai sekitar RM93,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.
Jauteh berkata, hasil siasatan lanjut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah melakukan beberapa siri serbuan susulan di Kota Kinabalu dan Tawau.
Katanya, tiga lagi individu terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 38 hingga 52 tahun berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
“Semua suspek dipercayai terlibat dalam urusan transaksi dan penghantaran kotak-kotak mengandungi vape serta cecair THC tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu Jauteh berkata, kes kedua pula melibatkan sindiket pengedaran syabu dan serbuk ekstasi menerusi beberapa siri serbuan serta tangkapan enam individu di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang bermula 11 Mei lalu.
Katanya, operasi pertama dijalankan kira-kira jam 7 malam di kawasan parkir Plaza 88 Kepayan apabila dua lelaki ditahan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza.
“Hasil pemeriksaan menemui dua bungkusan disyaki syabu seberat dua kilogram sebelum soal siasat lanjut membawa kepada penemuan 50 bungkusan lagi dadah disyaki syabu seberat 50.95 kilogram di sebuah bilik sewa di Plaza Grand Millennium, Penampang.
“Serbuan ketiga dilaksanakan di sebuah bilik sewa di Asas Home New World, Penampang dan berjaya menemukan 10 kilogram lagi syabu serta dua paket serbuk ekstasi.
“Polis kemudian menahan beberapa lagi individu termasuk seorang wanita yang dipercayai mempunyai hubungan dengan ketua sindiket yang masih diburu pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, polis turut menahan seorang lelaki dipercayai pembantu kepada ketua sindiket ketika cuba melarikan diri ke Lawas, Sarawak melalui Pos CIQ Sindumin.
“Rampasan dalam kes ini melibatkan 63.18 kilogram keseluruhan dadah jenis syabu, serbuk ekstasi dan ketamin yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.16 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.















Comments