Daftar pemilih tambahan Jun 2025 dibuka untuk semakan – SPR
- nabalunews
- Jul 19, 2025
- 2 min read
Updated: Jul 20, 2025

19 Julai 2025
PUTRAJAYA: Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2025 (DPT BLN6/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula Khamis hingga 16 Ogos ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata DPT BLN6/2025 yang diperaku pada Rabu dan diwartakan semalam mengandungi 40,510 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Jun yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
“Selain itu, senarai berkenaan juga mengandungi 9,836 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,791 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Menurutnya, SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my); dan aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my).
Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
“SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Jun 2025 dan pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk membuat semakan,” katanya.
Khairul Shahril berkata, sekiranya pemilih mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN6/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
“Bagi pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang ingin membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian tersebut boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri.
“Borang berkenaan harus dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri terbabit untuk serahan dan bayaran fi bantahan sepanjang tempoh semakan tersebut,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR, menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7218, atau menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri masing-masing.















Comments