Dakwaan Malaysia serah 5,207 hektar kepada Indonesia tidak benar – PM Anwar
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

4 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan adalah tidak benar dan satu penipuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan semua pihak perlu berhati-hati dan berhemah dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh memberi kesan langsung kepada hubungan kedua-dua negara.
Menurutnya, asas penentuan sempadan darat antara Malaysia dengan Indonesia adalah berdasarkan dua konvensyen dan satu perjanjian, bukan bersandarkan prinsip pampasan, timbal balik atau untung rugi.
“Dakwaan Malaysia menyerah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan kalau pun tidak niat jahat sama sekali.
“Sebab itu kita harus terikat dengan perjanjian dan yang dapat dipertikai, saya lihat adalah kawasan dari awal sejak 1919 ditekankan dalam semua rekod kita menjelaskan ia tidak kita sahkan, tapi tidak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kawasan Sempadan Belum Dimuktamadkan (OPB) sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai milik mana-mana negara kerana kerana ia merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dulu lagi.
Jelasnya, Malaysia dan Indonesia terikat dengan perjanjian yang dimeterai melibatkan konvensyen persempadanan antara kerajaan British dan Belanda, Boundary Convensyen 1891 untuk keseluruhan Sabah dan Sarawak manakala Perjanjian Persempadanan Boundary Agreement 1915 untuk Sabah.
“Untuk sebahagian kecil sektor di Sarawak, konvensyen persempadanan antara kerajaan British dan Belanda yang telah ditandatangani di Hague pada 26 Mac 1928, Konvensyen Sempadan Convention 1928.
“Bagaimana penentuan jajaran persempadanan di kawasan OPB, Sungai Sinapat, Sungai Sesai yang menjadi isu ketika ini adalah berdasarkan kepada Konvensyen Sempadan 1891 dan Perjanjian Sempadan 1915,” ujarnya.
Jelasnya, proses rundingan dan pengukuran sempadan itu telah berjalan selama 47 tahun sejak 1977 dan diselesaikan berperingkat, namun kerajaan berpandangan ia harus disegerakan untuk menjaga hubungan baik kedua-dua negara berdasarkan perjanjian dan konvensyen antarabangsa.
“Dalam semua rundingan melibatkan Sabah dan Sarawak, wakil Kerajaan Negeri Sabah, termasuk Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Peguam Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta agensi berkaitan, telah dilibatkan sepenuhnya.
“Setiap inci tanah dirunding dan dipersetujui sebelum dimuktamadkan di peringkat kerajaan dengan kerajaan Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Anwar menjelaskan rundingan persempadanan Malaysia-Indonesia masih berjalan dan melibatkan beberapa perkara sensitif yang belum dimuktamadkan.
Menurutnya, ia melibatkan isu lima kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah - Kalimantan Utara, empat kawasan di sektor OBP Sarawak - Kalimantan Barat yang masih dalam proses perundingan dan masih belum dimuktamadkan.
“Sebab itu kenyataan-kenyataan kita harus berhati-hati dan berhemah kalau nak cari keuntungan politik sempit, bukan masanya bukan untuk korbankan kepentingan Malaysia, atau korbankan kepentingan hubungan baik di antara dua negara,” katanya.














