Dana Inovasi Media RM30 juta dibuka Januari depan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

18 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta akan dibuka bagi Fasa Pertama bermula 1 Januari sehingga 14 Januari tahun depan, bagi mempercepat transformasi industri media tempatan agar kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta pengumuman Perdana Menteri sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Menurut beliau, dana berkenaan menyasarkan untuk menggalakkan penghasilan kandungan yang lebih kreatif, interaktif dan berimpak tinggi, serta memperkasakan kompetensi pengamal media melalui latihan.
“Ia juga bertujuan menyokong transformasi industri media menerusi pembangunan projek inovatif merangkumi aspek kandungan, teknologi media dan strategi digital.
“Selain itu, memperkukuh daya saing organisasi media dalam menyampaikan maklumat yang tepat, relevan dan bermanfaat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media mingguan di ibu negara hari ini.
Fahmi berkata, bagi memastikan penyaluran dana dilaksanakan secara berintegriti dan berkesan, hanya syarikat atau organisasi media tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta mempunyai kakitangan pemegang Kad Perakuan Media aktif layak memohon.
Jelasnya, Dana Inovasi Media merangkumi empat skop utama, iaitu latihan kepada pekerja media menerusi penganjuran latihan dalaman, atau penghantaran pekerja media untuk mengikuti kursus dan latihan yang dianjurkan pihak luar, atau kedua-dua pilihan berkenaan.
Tambah beliau, dana turut boleh dimanfaatkan bagi perisian dan adaptasi teknologi, termasuk pembelian atau sewaan perisian diperakukan untuk penghasilan kandungan berkualiti tinggi selaras dengan perkembangan pesat teknologi media pada peringkat global.
“Dana itu juga meliputi pembelian atau sewaan peralatan teknikal termasuk perkakasan, peralatan studio dan peralatan rakaman yang menyokong penghasilan kandungan berkualiti tinggi.
“Selain itu, ia turut menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk adaptasi teknologi AI dan inovasi digital terkini dalam penghasilan kandungan,” ujarnya.
Maklumat lanjut serta borang permohonan Dana Inovasi Media boleh dimuat turun melalui laman web www.komunikasi.gov.my mulai 1 Januari depan.














