top of page

Dana Pendidikan Pacu Penyertaan Pelajar Kadamaian ke Festival Kebudayaan Antarabangsa

  • nabalunews
  • Jun 20, 2025
  • 2 min read

20 Jun 2025


KOTA BELUD: Komitmen berterusan dalam memperkukuh bidang pendidikan dan kebudayaan di kawasan Kadamaian diterjemahkan menerusi pemberian sumbangan kewangan kepada dua pelajar berpotensi tinggi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, bagi membolehkan mereka menyertai Festival Kebudayaan Antarabangsa Korat (KIFF) di Thailand pada bulan hadapan.


Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh wakil Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Hadlee Panchai, mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Kedua-dua pelajar yang menerima sumbangan ialah Errol Vincinzi Dison dan Roland Masjaly, yang akan menyertai rombongan kebudayaan SMK Narinang dengan kerjasama Persatuan Seni Budaya Bayu (Windbreeze Cultural Association) ke festival tersebut yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 30 Julai 2025 di Chulaporn Convention Hall, Thailand.

Menurut Hadlee, permohonan sumbangan telah dikemukakan oleh bapa pelajar berkenaan, Dison Sumbin dan Masjaly Kadoo, bagi menampung kos penyertaan anak mereka. Difahamkan, Dison bekerja sebagai tukang kayu tanpa pendapatan tetap, sekali gus menjadikan sumbangan ini amat bermakna buat keluarga mereka.


“Ewon amat menitikberatkan pembangunan holistik dalam kalangan pelajar di Kadamaian. Penyertaan dalam festival seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan berharga kepada pelajar, malah turut membawa nama baik daerah dan negeri Sabah ke peringkat antarabangsa,” ujar Hadlee.


Festival KIFF merupakan platform budaya bertaraf global yang menghimpunkan penyertaan pelbagai negara untuk mempersembahkan warisan seni masing-masing, sekali gus menggalakkan pertukaran budaya dan persefahaman sejagat.


Errol dalam satu kenyataan menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas peluang yang diberikan.


“Saya sangat bersyukur dan terharu menerima sumbangan ini. Ia membuka ruang kepada saya untuk menyumbang kepada sekolah, negeri, dan negara melalui seni budaya,” katanya.


Rakannya, Roland turut menyatakan penghargaan yang sama dan berharap penyertaan mereka dapat membawa impak positif serta mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.


Inisiatif ini jelas menunjukkan keprihatinan seorang wakil rakyat dalam mendukung pembangunan pendidikan dan sahsiah generasi muda, terutamanya pelajar dari luar bandar. Sumbangan seperti ini bukan sahaja membuka peluang, malah membentuk modal insan yang berbudaya, berilmu, dan mampu bersaing di arena global.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page