top of page
  • Wartawan Nabalu News

DAP nafi ugutan Dr. Mahathir, tidak pernah persoal kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan


4 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: DAP menafikan dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa parti itu akan mengugut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.


Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata dakwaan itu tidak berasas dan sangat tidak bertanggungjawab.


Beliau menegaskan bahawa semua Ahli Parlimen DAP akan mempertahankan semua perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.


"DAP tidak pernah dan tidak akan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media.


Beliau juga mempersoalkan kenapa Tun Dr. Mahathir, yang pernah menjadi Perdana Menteri dengan sokongan DAP, kini sanggup mengambil pendirian yang bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.


"Apakah beliau sudah lupa bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didokong oleh 42 Ahli Parlimen DAP? Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?" soalnya.


"Adakah Tun lupa berkenaan visi beliau untuk melahirkan Bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020?" tambahnya.


Loke berkata DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum dan akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara.


Beliau juga menjamin bahawa Malaysia akan sentiasa kekal sebagai anggota Organisasi Kerjasama Islam (OIC) di bawah Kerajaan Perpaduan.


Dalam kenyataan terbaru beliau bertarikh 3 Julai 2023, Tun Dr. Mahathir mendakwa DAP dengan kedudukan 40 kerusi Parlimen dalam kerajaan hari ini akan mengugut Anwar untuk mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi dengan tanpa agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan.

bottom of page