- Wartawan Nabalu News
Dasar baharu: Hukuman mati mandatori akan dimansuhkan - Azalina

24 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan beberapa dasar baharu untuk menghapuskan hukuman mati mandatori dalam mesyuarat pada Jumaat lalu.
Katanya, antara polisi baharu itu ialah; hukuman pemenjaraan sepanjang hayat tidak lagi digunakan sebagai ganti hukuman mati wajib, tetapi hukuman baru ialah penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebat sekurang-kurangnya 12 kali.
"Selain itu, hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai satu hukuman dimansuhkan sepenuhnya dalam semua undang-undang; hukuman mati dimansuhkan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian, melainkan tiga kesalahan iaitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"… dan juga; satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu akan dibentangkan untuk membolehkan Mahkamah Persekutuan menyemak semula hukuman mati atau hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang telah dijatuhkan.
"Cadangan RUU ini dijangka akan memberi kesan kepada 957 orang banduan hukuman mati dan banduan sepanjang hayat yang telah menghabiskan proses rayuan di mahkamah sebelum ini," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara kelmarin.
Tambah Azalina, bacaan kali pertama bagi RUU Pemansuhan Hukuman Mati Wajib 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 akan berlangsung pada Isnin depan (27 Mac).
"RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dijangka akan memberi kesan kepada 476 orang banduan yang masih dalam proses rayuan, sama ada di Mahkamah Rayuan ataupun Mahkamah Persekutuan.
“Ini kerana, hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori akan berkuat kuasa secara retrospektif,” katanya.
Sementara itu, Azalina berkata kerajaan telah menjalankan 19 sesi libat urus dan mesyuarat dengan pihak-pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, peguam, bekas Ketua Hakim Negara, pakar perundangan perlembagaan, banduan-banduan akhir dan keluarga serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Rangkaian Anti-Hukuman Mati Asia (ADPAN) dan Reprieve di United Kingdom.
"Pindaan perundangan melibatkan polisi penghukuman dan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini merupakan perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah di Malaysia supaya lebih holistik dan inklusif, selain tidak menafikan hak asasi individu untuk mendapat keadilan sewajarnya," katanya.