SKMM, polis tumpaskan sindiket penyebaran SMS palsu
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

6 September 2025
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama polis menumpaskan sindiket penyebaran mesej teks ringkas (SMS) palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) menerusi operasi bersepadu Op Pancing baru-baru ini.
SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hasil risikan dan aduan awam membawa kepada penahanan seorang individu yang mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat beli-belah utama di Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan turut menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai fake BTS dalam keadaan aktif.
“Ujian frekuensi mengesahkan peralatan berkenaan bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan terbabit,” menurut kenyataan itu.
Susulan tangkapan tersebut, SKMM dengan bantuan polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam, yang dijadikan lokasi penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kelengkapan komunikasi berkaitan fake BTS.
Menurut suruhanjaya itu, hasil siasatan awal mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket dengan mengubah suai kelengkapan komunikasi Fake BTS berkenaan untuk beroperasi secara mudah alih.
"Secara keseluruhannya, 45 barangan disita dengan anggaran nilai RM100,000.00. Seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Comments