top of page

Dasar Gaji Progresif: 32,000 pekerja nikmati kenaikan gaji sehingga 16 peratus

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

ree

4 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Seramai 32,000 pekerja menikmati kenaikan gaji sehingga 16 peratus melalui inisiatif Dasar Gaji Progresif (DGP) setakat November lalu.


Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, jumlah itu melibatkan kira-kira 3,000 majikan yang melaksanakan DGP sejak program rintisnya diperkenal pada Jun 2024, dengan jumlah insentif keseluruhan sebanyak RM34 juta telah disalurkan.


“Semua pekerja ini telah mendapat kenaikan gaji dan mereka juga perlu memenuhi syarat minimum latihan 21 jam setahun atau melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu sebagai antara syarat melayakkan pembayaran insentif,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.


Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung kemajuan dan kejayaan DGP setakat ini.


Menurut Sim, DGP berjaya menaikkan gaji median pekerja peringkat permulaan sebanyak RM300 atau 16 peratus kepada RM2,200 berbanding RM1,900 sebelum ini.


Selain itu katanya, pekerja yang sudah berkhidmat lebih 12 bulan menikmati peningkatan gaji minimum sehingga 13 peratus atau RM290 kepada RM2,490 berbanding RM2,200.


“Setakat November, hampir 6,000 majikan membuka akaun dalam sistem Gaji Progresif dan daripada jumlah itu, hampir 4,000 mengemukakan permohonan untuk menyertai inisiatif DGP,” jelasnya.


Diluluskan Jemaah Menteri pada 27 September 2023, DGP menjadi pemacu utama pembaharuan struktur gaji negara dengan menghubungkan kenaikan gaji dengan produktiviti dan pembangunan kemahiran.


Majikan yang menyertainya secara sukarela akan menerima insentif Kerajaan berdasarkan kadar kenaikan gaji pekerja, dan dalam masa sama, syarat latihan juga perlu dipenuhi bagi meningkatkan kemahiran serta produktiviti.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page