Datuk Ewon Benedick – Letak Jawatan Demi Maruah, Bukan Demi Jawatan
- nabalunews
- Nov 10, 2025
- 1 min read

10 November 2025
Parti PERPADUAN menghormati dan menyokong tindakan berani Datuk Ewon Benedick untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan. Langkah ini bukan tanda kelemahan, tetapi lambang keberanian moral dan politik seorang pemimpin Sabah yang memilih prinsip daripada kedudukan.
Isu asas yang mencetuskan keputusan ini adalah perbezaan pandangan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung hak 40% hasil Sabah dan bukan sekadar isu teknikal undang-undang. Ia menyentuh inti sebenar pembentukan Malaysia di bawah MA63, yang menjamin autonomi dan keadilan fiskal kepada Sabah.
Pendiriannya membuktikan bahawa hak Sabah tidak boleh dijadikan bahan rundingan politik, dan keputusan AGC yang menolak tuntutan 40% hasil Sabah adalah pengkhianatan terhadap semangat persekutuan sejati.
Parti PERPADUAN menegaskan bahawa langkah Datuk Ewon:
Menunjukkan keberanian luar biasa seorang pemimpin Sabah yang menolak politik feudal Kuala Lumpur.
Menjadi titik kebangkitan baharu untuk gerakan Sabah First di mana suara rakyat Sabah mesti lebih besar daripada kepentingan parti pusat.
Menghantar mesej jelas kepada Kerajaan Madani bahawa maruah negeri ini bukan boleh ditangguh atau ditawar atas alasan politik sempit.
Kami juga menyeru semua wakil rakyat Sabah tanpa mengira parti agar bersatu sebagai blok politik Sabah untuk mempertahankan hak konstitusi wilayah ini di meja rundingan nasional.
Dalam konteks politik semasa, keputusan Datuk Ewon merupakan tindakan politik bermaruah, yang menuntut agar setiap wakil rakyat Sabah menilai semula keberanian dan integriti mereka sendiri.
“Sabah tidak memerlukan wakil dalam kabinet jika suara mereka tidak lagi didengar.
Sabah memerlukan pejuang di luar kabinet yang berani menegakkan kebenaran.”


















Comments