top of page
  • Wartawan Nabalu News

Datuk Jauteh Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu


31 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Datuk Jauteh Dikun telah dilantik sebagai pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah menggantikan Datuk Idris Abdullah yang akan bersara pada 31 Mac.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau yakin dengan kemampuan Jauteh yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang untuk menguruskan keselamatan dan keharmonian sosial di Sabah.


"Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang, saya yakin Sabah berada di tangan yang betul untuk kendalikan aspek keselamatan, aspek keharmonian sosial dan kesejahteraan rakyat di Sabah yang penuh dengan cabaran," katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, pada Khamis.


Acryl Sani juga berkata, pihaknya akan mengumumkan pelantikan rasmi jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu dalam tempoh tidak berapa lama lagi.


"Hujung minggu ini akan diadakan mesyuarat oleh polis yang akan membincangkan dan memilih beberapa calon yang disyorkan bukan di Sabah saja, bahkan di beberapa tempat lain. Ada banyak kekosongan jawatan utama yang perlu diisi segera," jelasnya.


Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan telahpun diambil untuk mengisi kekosongan perjawatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) selepas beberapa pegawai dan anggota dituduh terbabit dalam kes bunuh.


"Tindakan telahpun kita ambil untuk membuat pengisian menggantikan pegawai yang terlibat untuk memastikan supaya perjalanan operasi ESSCom tidak akan terjejas. Ada yang telah diisi dan ada yang telah diproses untuk mengenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai diletakkan dalam perjawatan yang ditinggalkan kosong," katanya.



תגובות


bottom of page