DBKK laksana Ops Bersepadu Tapak Bina, ambil tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

3 Februari 2026
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor dan pemaju yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan menerusi pelaksanaan Ops Bersepadu Tapak Bina di beberapa lokasi projek sekitar bandar raya, baru-baru ini.
DBKK dalam kenyataan memaklumkan, operasi selama dua hari berakhir pada 1 Februari itu dilaksanakan oleh Jabatan Kawalan Bangunan dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan serta Jabatan Penguatkuasaan, melibatkan seramai 18 anggota penguat kuasa.
“Pada hari pertama pemeriksaan, dua kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) (Bangunan) 1951 terhadap pihak yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan melebihi tempoh masa yang diluluskan oleh DBKK.

"Selain itu, anggota bertugas turut bertindak menyita dua alat panel kawalan lif pengangkut, dua bateri lori 10 tan serta kunci lori," menurut kenyataan itu.
DBKK memaklumkan, operasi pemantauan pematuhan pada hari kedua dijalankan susulan aduan awam mengenai pihak pemaju sebuah tapak bina yang didakwa tidak mematuhi hari dan tempoh masa kerja yang dibenarkan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tapak berkenaan melakukan kerja-kerja pembinaan melebihi had masa yang dibenarkan, justeru, satu kompaun dikeluarkan kepada pihak pemaju dan peralatan kimpalan disita.
DBKK menegaskan semua pemaju dan kontraktor di Bandaraya Kota Kinabalu wajib mematuhi syarat kelulusan pelan bangunan serta peruntukan di bawah UUK (Bangunan) 1951.
“Kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan akan mengakibatkan tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi sebagai langkah memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan orang awam sentiasa terpelihara,” katanya.














