Pelaksanaan SDG di Sabah ambil kira cabaran setempat, keperluan unik negeri
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

3 Februari 2026
KOTA KINABALU: Pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Sabah dirangka dengan mengambil kira cabaran setempat dan keperluan unik negeri ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Menurut beliau, ia termasuk pembangunan kawasan luar bandar dan pedalaman, pembasmian kemiskinan pelbagai dimensi serta peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas.
“Cabaran lain yang turut diambil kira ialah penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air yang selamat, pemeliharaan alam sekitar serta pemerkasaan belia dan komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Bidang Fokus Utama 6 SDG Bilangan 1 Tahun 2026 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, di sini hari ini.
Menurut Mustapha, mesyuarat berkenaan merupakan sesi permulaan yang penting bagi menyelaras hala tuju, memperkukuh struktur tadbir urus dan pelan tindakan pelaksanaan Bidang Fokus Utama 6 SDG agar selari dengan realiti dan keperluan unik Sabah.
Ujarnya, pendekatan whole-of-government dan whole-of-society menjadi teras utama pelaksanaan SDG di negeri ini, dengan penekanan utama kepada kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, agensi pelaksana, sektor swasta serta masyarakat.
“Pendekatan menyeluruh ini penting bagi memastikan setiap inisiatif SDG dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
“Insya-Allah, usaha ini akan terus diperkasakan secara berterusan demi memastikan pembangunan yang seimbang dan mampan, serta menjamin kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang,” katanya.














