DBKK Tinjau Isu Sistem Saliran, Kebersihan Sekitar Jalan Tugu
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

19 Mei 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Khamis lalu, mengadakan lawatan teknikal di sekitar Jalan Tugu bagi meninjau permasalahan sistem saliran, tahap kebersihan persekitaran serta pematuhan premis terhadap pelan kelulusan serta penyelenggaraan infrastruktur.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan yang diketuai Datuk Bandar Datuk Dr. Sabin Samitah itu melibatkan tiga premis utama iaitu Hotel Horizon, stesen minyak Shell dan sebuah restoran makanan laut.
“Hasil tinjauan mengenal pasti dua isu utama yang memerlukan tindakan segera, antaranya sistem saliran di kawasan Shell yang tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan air hujan gagal dialirkan sempurna ke arah Hotel Horizon dan mengakibatkan takungan air.

“Selain itu, mainhole kumbahan di hadapan Hotel Horizon didapati melimpah sekali gus menimbulkan risiko pencemaran dan menjejaskan imej persekitaran bandaraya,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, katanya, pemilik premis diarahkan untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan dengan segera mengikut pelan pembangunan yang telah diluluskan.
Di samping itu, katanya, Jabatan Teknikal DBKK turut diarah untuk meneliti semula semua pelan pembangunan serta rekabentuk sistem saliran bagi kawasan sekitar untuk dibawa ke dalam mesyuarat teknikal bagi semakan lanjut.
“Sementara itu, bagi menjamin air hujan yang dialirkan ke kawasan lain kekal bersih, setiap premis terlibat diwajibkan memastikan sistem penapisan berfungsi dengan baik dan diselenggara secara berkala.
“Manakala Jabatan Landskap DBKK diarahkan untuk melaksanakan kerja pembersihan berkala terhadap parit di luar pagar stesen minyak Shell bagi memastikan kelancaran sistem saliran serta tahap kebersihan yang berterusan,” katanya.
Menurutnya, Datuk Bandar turut mengambil maklum mengenai status permohonan peruntukan bagi menaik taraf jejantas Segama dan menggesa agar tindakan segera diambil bagi mempercepat pelaksanaan.
“DBKK kekal komited memperkukuh kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi mewujudkan persekitaran bandaraya yang bersih, teratur dan selamat, sejajar dengan aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya.