top of page

Debat koperasi perkukuh peranan belia dalam gerakan koperasi

  • nabalunews
  • Jun 19
  • 2 min read

19 Jun 2025


PETALING JAYA: Pertandingan Debat Koperasi Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2025 dilihat menjadi platform berkesan dalam memperkukuh peranan belia untuk memperjuangkan gerakan koperasi negara.


Ia merupakan inisiatif Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dalam usaha memperkenalkan konsep dan nilai koperasi kepada mahasiswa.


Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, pertandingan debat itu bukan sekadar pentas pengucapan, malah menjadi platform intelektual yang mengangkat isu strategik koperasi yang revelan dengan cabaran semasa.

“Tema debat tahun ini ‘Koperasi Penggerak Ekonomi Masyarakat Madani’ amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk membina masyarakat yang inklusif, progresif dan seimbang.


“Ia menuntut kita memahami bahawa koperasi bukan sekadar entiti ekonomi, tetapi juga ejen perubahan sosial yang mampan,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan pertandingan itu melalui rakaman video, pada Ahad.


Ewon turut memuji peranan IKMa, agensi di bawah KUSKOP, dalam menyemai semangat koperasi di kalangan mahasiswa melalui program antaranya Graduan ke Koperasi (G2K), Pocket Talk Keusahawanan dan Kerjaya, serta Program Pembudayaan Koperasi Belia.


“Usaha ini bukan sahaja dapat melahirkan ahli koperasi, tetapi membentuk generasi pemimpin koperasi yang kritis, celik ekonomi dan berwawasan.


“KUSKOP juga turut memperkenalkan pelbagai insentif untuk merancakkan penyertaan belia dalam koperasi, bidang kepimpinan, keusahawanan dan pembudayaan koperasi,” katanya.


Seramai 48 pendebat daripada 23 pasukan mewakili 18 universiti awam dan lima institusi pengajian tinggi swasta seluruh negara mengambil bahagian dalam pertandingan edisi kedua tersebut.


Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan juara selepas mengetengahkan hujah mantap berasaskan peranan belia sebagai pemangkin inovasi serta peneraju pembaharuan dalam gerakan koperasi.


Tempat kedua diraih Universiti Sains Malaysia (USM), diikuti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) masing-masing di tempat ketiga dan keempat.


Selain itu, Farah Aulia Ahmad Sanusi dari UUM turut menerima Anugerah Pendebat Terbaik Pusingan Akhir, manakala Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan disandang Emmed Erwan Shah dari Universiti Teknologi Petronas (UTP).


Turut hadir, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu merangkap Pengerusi MADUM, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page