top of page

Pengukuhan Kerjasama Kpsti Dan Kpt, Perkasa Pendidikan Tinggi - James Ratib

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

21 April 2026


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI) terus komited dalam memastikan hala tuju pendidikan tinggi di negeri ini selari dengan keperluan semasa industri.


Perkara berkenaan diputuskan hasil pertemuan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, sempena Mesyuarat Exco Pendidikan yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.


Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib berkata, program dan latihan yang ditawarkan di politeknik, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu diselaraskan dengan kehendak pasaran kerja masa kini.


“Pilihan program dan latihan yang ditawarkan tidak boleh bersifat statik. Ia perlu sentiasa disesuaikan dengan permintaan industri supaya graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya.


Sehubungan itu, James berkata, KPSTI akan mengambil langkah proaktif dengan memanggil semua pemain industri serta pihak politeknik dan institusi pengajian tinggi bagi menyelaras penawaran program latihan agar lebih relevan dan berimpak tinggi.


Katanya, pendekatan itu diyakini mampu memastikan para pelajar mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas sebaik sahaja menamatkan pengajian.


“Ia sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan,” katanya.


Sementara itu, James turut membangkitkan isu keperluan mendesak di institusi pendidikan, khususnya berkaitan kemudahan asas seperti penggantian tilam yang telah digunakan melebihi 10 tahun.


Selain itu katanya, penambahbaikan aspek kebajikan pelajar termasuk penyediaan makanan yang berkualiti dan mencukupi juga perlu diberi perhatian.


“Bagi memperkukuh pelaksanaan program pendidikan tinggi di Sabah, KPSTI juga akan bekerjasama rapat dalam pelaksanaan projek-projek melibatkan IPTS.


“Setakat ini, sebanyak 21 projek telah dilaksanakan manakala 8 lagi projek baharu sedang dalam tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk dipastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.


Dalam pertemuan tersebut, James turut mencadangkan agar satu laluan khas diwujudkan untuk pelajar luar bandar serta golongan B40 bagi meningkatkan akses mereka ke institusi pengajian tinggi.


Katanya, cadangan itu mendapat maklum balas positif daripada Menteri Pendidikan Tinggi yang bersetuju agar pendekatan inklusif tersebut dipertimbangkan dan dilaksanakan.


“Cadangan itu perlu demi memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati secara lebih saksama oleh semua lapisan masyarakat.


“KPSTI kekal komited untuk memperkasa ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, responsif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan Sabah,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page