top of page

Cadangan sistem pengambilan pekerja asing secara langsung masih diteliti – KESUMA

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

21 April 2026


PUTRAJAYA: Cadangan pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing secara langsung menerusi platform digital masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan.


Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, terdapat pelbagai laporan serta tafsiran berbeza yang menimbulkan kekeliruan, termasuk gambaran seolah-olah keputusan telah dibuat.


"Sebarang laporan atau kenyataan yang menggambarkan seolah-olah keputusan sudah dimuktamadkan adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan" katanya dalam kenyataan pada Selasa.


KESUMA memaklumkan kajian menyeluruh terhadap ekosistem pekerja asing mendapati wujud kelompangan dalam komponen perekrutan di negara sumber, khususnya berkaitan isu ikatan hutang yang boleh mendedahkan pekerja kepada risiko eksploitasi.


Sehubungan itu, kementerian sedang meneroka keperluan untuk membangunkan platform digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik ekosistem pengambilan pekerja asing secara menyeluruh.


"Pendekatan ini membolehkan pengambilan secara langsung oleh majikan berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja merangkumi keseluruhan proses di negara sumber termasuk pendaftaran, pemilihan, padanan pekerjaan, persetujuan kontrak perkhidmatan antara majikan dan pekerja serta fasilitasi penghantaran pekerja.


“Kos perekrutan juga akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan memastikan tiada beban kewangan dikenakan kepada pekerja asing,” katanya.


Menurut KESUMA, cadangan berkenaan adalah selaras dengan prinsip pengambilan pekerja yang adil dan beretika yang diterapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dan berpotensi menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa.


Selain itu, ia juga dilihat mampu memperkukuh usaha Malaysia mencapai penarafan Tier 1 dalam laporan Pemerdagangan Orang oleh Amerika Syarikat.


"Cadangan ini hanya tertumpu kepada proses perekrutan pekerja asing di negara sumber sahaja iaitu pada peringkat proses pascakelulusan kuota dan tidak mengganggu apa-apa proses praperekrutan termasuk aktiviti penguatkuasaan kerajaan berlandaskan perundangan sedia ada.


“Sebarang pelaksanaan akan tertakluk sepenuhnya kepada kawalan KESUMA dari segi dasar dan operasi, serta diintegrasikan dengan sistem kerajaan sedia ada termasuk Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe),” katanya.


Jelasnya, pembabitan dan peranan agensi pekerjaan swasta di Malaysia kekal dan tidak terjejas kerana kementerian melihat cadangan itu sebagai satu platform yang boleh digunakan oleh majikan sendiri atau melalui agensi pekerjaan swasta untuk menjalankan proses perekrutan.


KESUMA memaklumkan, kementerian kini sedang meneliti dan memperhalusi cadangan berkenaan melalui sesi libat urus membabitkan negara sumber tenaga kerja serta pihak industri, termasuk penyedia teknologi FWCMS, yang digunakan bagi pengurusan pekerja asing ke Malaysia sejak 2015.


“Bagaimanapun, semua cadangan tersebut masih dalam peringkat penilaian dan belum diputusakan serta tiada sebarang komitmen, pelantikan atau perjanjian dibuat dengan mana-mana pihak setakat ini.


“Sebarang pelaksanaan kelak akan mematuhi semua tatakelola yang ditetapkan dan melalui proses pertimbangan serta persetujuan Kabinet selepas libat urus dengan penglibatan kementerian berkaitan, pihak industri dan negara sumber tenaga kerja,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page