- nabalunews
Demi Rakyat: Terus memperjuangkan pendidikan, kemahiran dan keusahawanan
18 Ogos 2024
SANDAKAN : Persatuan Usahawan Lestari Sabah (PULSE) telah mengadakan satu lagi Siri Taklimat Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada komuniti setempat di Kampung Gum-Gum, Batu 16, Sandakan yang dihadiri lebih 50 orang peserta.
Ini merupakan program susulan selepas pelaksanaan Program Taklimat Pembiayaan Tekun Nasional yang dihadiri lebih 150 orang peserta pada Mac yang lalu.
Taklimat itu disampaikan oleh Dr Peter Jr Naintin selaku pengerusi PULSE.
"Terdapat pelbagai kemudahan dan bantuan untuk pembangunan usahawan dan koperasi yang disediakan oleh Kerajaan Madani melalui KUSKOP. Pada ketika ini, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) telah diamanahkan kepada YB Datuk Ewon Benedick, yang juga merupakan Ahli Parlimen Penampang dan Ahli DUN Kedamaian." kata Dr Peter.
Pada awal bulan ini, taklimat yang sama juga telah dikongsi dengan komuniti di Kampung Pertanian Batu 25 Sandakan.
Dalam kesempatan itu, Dr Peter turut menyampaikan Bantuan Bakul Madani kepada 15 orang penerima komuniti dari golongan B40.
Manakala, seramai 36 orang telah menerima Bantuan Bakul Madani yang sama di Kg Gum-Gum, Batu 16 Sandakan pada hari ini.
"Kami akan berusaha untuk menjadi pemudahcara dan pembimbing awal bagi membuka ruang dan peluang kepada komuniti B40 untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Kita tahu ramai di kawasan Libaran ini yang masih lagi berada dalam keadaan serba kekurangan. Ini merupakan salah satu inisiatif awal kami untuk membantu rakyat di akar umbi," kata Dr Peter.
Selain daripada itu, PULSE juga telah menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Bank Rakyat, Jabatan Pendidikan Sandakan dan beberapa sekolah diluar bandar dalam usaha menyediakan Bantuan Awal Persekolahan untuk murid B40.
Pada bulan Mei dan Jun lalu, kerjasama ini telah berjaya menyalurkan bantuan beg dan peralatan sekolah kepada 300 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Bakti, Batu 36 dan 266 murid SK Ulu Dusun, Batu 30, Sandakan.
Sejak tahun lalu, seramai 112 pelajar telah mendapat Bantuan Awal Pengajian (BAP) daripada Yayasan Bank Rakyat bagi kawasan Libaran/Sandakan.
Program BAP ini bertujuan untuk membantu para pelajar B40 yang mendapat penempatan untuk meneruskan pembelajaran mereka ke institut pengajian tinggi.
"Kami juga menyeru kepada syarikat-syarikat swasta agar dapat menjalinkan kerjasama untuk membantu kami di kawasan Libaran dalam menjayakan program mensejahterakan rakyat melalui aktiviti CSR mereka nanti.
"Sebarang saluran bantuan dan inisiatif bersama masyarakat, bolehlah menghubungi kami melalui email pulse040723@gmail.com atau FB Page Persatuan Usahawan Lestari Sabah," katanya.
Komentar