top of page

Dewan Negara lulus RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 2 min read

ree

18 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 [Akta 4] yang bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24 jam iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.


RUU yang dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu.


Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan Skim Lindung 24 jam itu bakal memberi manfaat kepada hampir 9.6 juta pekerja formal di seluruh negara.


“Ia juga dapat menutup kelompangan perlindungan sedia ada dengan menyelesaikan isu 12,306 tuntutan kemalangan yang ditolak sejak tahun 2023 hingga Okt 2025 kerana dikategorikan berlaku di luar waktu bekerja.


“Pelaksanaan skim ini selaras dengan perubahan corak pekerjaan semasa yang semakin mengamalkan model kerja hibrid dan aturan kerja anjal, di mana sempadan antara waktu kerja dan kehidupan harian semakin kabur,” menurut kenyataan itu pada Khamis.


KESUMA memaklumkan, RUU itu menandakan fasa baharu dalam usaha kerajaan melalui Kesuma untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara agar lebih menyeluruh, inklusif dan selari dengan keperluan pasaran buruh masa kini.


Antara faedah komprehensif yang ditawarkan melalui Skim Lindung 24 jam termasuk faedah perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) serta Faedah Orang Tanggungan (FOT).


Sistem perlindungan sosial negara yang akan dilaksanakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu turut menawarkan Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan kemudahan pinjaman pendidikan.


“Pelaksanaan skim ini dijangka dapat mengurangkan beban kewangan pekerja dan keluarga dalam urusan rawatan, pengurusan hilang upaya serta pemulihan.


“Selain itu, ia juga menetapkan standard baharu perlindungan sosial negara yang lebih setara dengan amalan negara maju, khususnya dalam landskap pekerjaan yang semakin fleksibel,” menurut kenyataan itu lagi.


Dalam masa sama, KESUMA memberi jaminan pelaksanaan skim itu akan dipantau secara rapi bagi memastikan keberkesanan, ketelusan serta penyampaian manfaat yang cepat, adil dan berintegriti kepada semua pekerja setelah ia dikuatkuasakan kelak.


“Ini menandakan satu fasa baharu dalam usaha kerajaan melalui Kesuma untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara agar lebih menyeluruh, inklusif dan selari dengan keperluan pasaran buruh masa kini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page