Dexter Lau bersama pemimpin komuniti perniagaan dunia, hadiri ulang tahun ke-80 kemenangan WWII China
- nabalunews
- 11 hours ago
- 2 min read

3 September 2025
KOTA KINABALU: Presiden Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau bersama pemimpin komuniti perniagaan dunia menghadiri Perarakan Hari Kemenangan China di Dataran Tiananmen, Beijing, bagi memperingati 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua (WWII).
Dexter berkata, acara itu memberinya ingatan untuk mengimbau pentingnya keamanan dipertahankan bagi menjamin kemajuan serta masa depan yang lebih baik.
"Ketika saya berdiri di Dataran Tiananmen, menyaksikan detik penuh makna ini bersama pemimpin dunia dan wakil diaspora Cina global, apa yang memenuhi hati saya bukan sahaja rasa terharu yang mendalam, tetapi juga rasa tanggungjawab yang amat besar.
"Ini adalah satu peristiwa agung di mana sejarah dan masa depan bertemu, mengingatkan kita untuk mengenang kesakitan peperangan dan menghargai keamanan yang telah diperjuangkan dengan susah payah,” katanya.
Dexter berkata, suasana sambutan itu membangkitkan emosi yang mendalam dan turut mengimbau kenangan pahit sejarah keluarganya sendiri.
Beliau mengenang kisah yang diceritakan oleh orang tua dalam keluarganya di mana datuknya pernah nyaris maut dalam kekacauan perang, namun terselamat hanya kerana ketabahan dan keberanian, manakala neneknya, yang sedang mengandungkan ayahnya ketika itu, telah dipukul dan ditendang dengan kejam oleh tentera musuh dan hampir kehilangan nyawa.
Pada masa yang sama, katanya, Malaysia turut dilanda kekacauan,dan perniagaan keluarganya, Kim Teck Cheong, terpaksa dihentikan demi kelangsungan hidup.
Mengulas perkara ini, Dexter berkata: “Sebenarnya, pandemik COVID-19 baru-baru ini juga merupakan satu bentuk peperangan tanpa asap dan api, yang telah melumpuhkan dunia.
"Sebagai sebuah perniagaan yang berusia 88 tahun, kami lakukan segala yang termampu bukan sahaja untuk mempertahankan mata pencarian, tetapi juga untuk mengekalkan semangat daya tahan keluarga dan tanggungjawab yang diwarisi—meneruskan legasi perniagaan dan menyampaikan nilai-nilai kami kepada generasi seterusnya.”
Beliau turut menegaskan bahawa hari peringatan itu bukan bertujuan membangkitkan kebencian, tetapi untuk menyedarkan masyarakat agar menghargai keamanan, dan memahami cara melindungi diri, keluarga dan perniagaan ketika berdepan kesukaran.
Sebagai pemimpin komuniti perniagaan Sabah, Dexter dijemput ke Beijing untuk menyertai ketua-ketua negara, pembesar dan pemimpin diaspora Cina dari seluruh dunia dalam acara kebangsaan itu.
Upacara peringatan diadakan semalam (3 September) di Dataran Tiananmen, dengan perarakan tentera berskala besar sebagai acara utama—melambangkan ikrar rasmi negara China untuk mengenang sejarah dan menghargai keamanan.
Menurut Dexter, penghormatan itu bukan miliknya secara peribadi, tetapi milik MCCC Sabah dan semua ahlinya.
“Saya mewakili bukan sahaja Sabah, tetapi juga Sarawak, seluruh Malaysia Timur, malah Borneo termasuk Brunei.
Walaupun Borneo secara geografi jauh dari Beijing, suara kita tetap boleh didengari di pentas dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Dexter turut menyampaikan kata-kata semangat kepada generasi muda supaya jangan mudah berputus asa apabila berdepan cabaran.
Katanya, sejarah telah mengajar berulang kali bahawa `selepas ribut, pasti muncul pelangi' di mana setiap individu perlu tabah menghadapi cabaran dan membina ketahanan diri.
Comments