Diskaun Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Hingga 20 Peratus
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Diskaun Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Hingga 20 Peratus



2 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memberikan diskaun bayaran balik pinjaman sebanyak 20 peratus dari 1 Mac hingga 31 Mei 2023.


Menurut kenyataan PTPTN pada hari Rabu, ini adalah sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2023 dan akan meliputi empat kategori peminjam PTPTN.


Jelas PTPTN, diskaun ini termasuklah diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.


Selain itu, peminjam juga boleh membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus mengikut jadual bayaran balik dengan diskaun 15 peratus secara automatik.


"Semua peminjam PTPTN termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah layak menikmati insentif ini," menurut kenyataan itu.


Untuk menikmati insentif ini, peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau 50 peratus daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang telah disediakan.


Selain diskaun 20 dan 15 peratus, PTPTN juga akan memberikan diskaun sebanyak lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.


PTPTN juga memaklumkan bahawa peminjam yang sedang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus adalah layak mendapat diskaun 15 peratus secara automatik.


Manakala peminjam yang ingin membuat potongan menerusi kaedah itu boleh membuat permohonan melalui myPTPTN atau portal rasmi PTPTN.


Dalam pada itu, PTPTN juga memperuntukkan penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang mempunyai pendapatan bulanan RM1,800 ke bawah.


Permohonan penangguhan boleh dibuat melalui portal rasmi PTPTN dan peminjam perlu melengkapkan maklumat perhubungan, pekerjaan, memuat naik dokumen pendapatan bulanan terkini serta membuat perakuan kebenaran ke atas maklumat yang diberikan.


"Peminjam yang diluluskan penangguhan akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik berkuat kuasa. Kos pentadbiran atau ujrah juga tidak dikenakan sepanjang tempoh penangguhan diberikan," jelas PTPTN dalam kenyataan itu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page