Donald: Teruskan Projek Tebatan Banjir Penampang, tangguh dulu pembinaan flyoverDonald: Teruskan Projek Tebatan Banjir Penampang, tangguh dulu pembinaan flyover
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Donald: Teruskan Projek Tebatan Banjir Penampang, tangguh dulu pembinaan flyover


13 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Mojuntin mencadangkan agar projek pembinaan ‘flyover’ daerah Penampang ditangguhkan dahulu buat masa ini agar peruntukan yang diluluskan itu boleh digunapakai untuk menyiapkan fasa-fasa projek Tebatan Banjir Penampang yang diluluskan sejak tahun 2011.


Katanya, dari empat fasa projek itu, hanya dua sahaja yang telah dilaksanakan manakala dua lagi fasa yang belum dilaksanakan itu melibatkan kerja-kerja untuk mendalamkan dan melebarkan Sungai Moyog Penampang serta injap air di tempat-tempat tertentu.


“Banjir juga boleh menindas sosioekonomi penduduk jika ia kerap berlaku dan membinasa harta benda penduduk. Dalam tempoh satu tahun, daerah Penampang telah mengalami banjir sebanyak enam kali. Yang terkini adalah pagi kelmarin. Ini adalah kali ketiga dalam satu bulan. Malah, ada kampung-kampung di Penampang yang sudah mengalami banjir 24 kali dalam tempoh satu tahun tersebut. Setiap kali banjir berlaku, kesannya bertambah buruk.


“Saya difahamkan satu projek pembinaan ‘flyover’ telah diluluskan untuk daerah Penampang. Saya mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya menangguhkan dahulu projek ‘fiyover’ itu dan gunakanlah peruntukan yang diluluskan untuk projek itu bagi menyiapkan fasa-fasa projek Tebatan Banjir Penampang. Ini yang perlu diutama dan disegerakan” katanya dalam ucapan perbahasannya semasa Sidang Dewan Rakyat, hari ini.


Menurut Donald yang juga Timbalan Presiden UPKO, Kerajaan Pusat juga perlu memastikan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di bahagian yang melalui Penampang tidak menambahburukkan lagi keadaan banjir di daerah tersebut.

Senator Datuk Donald Mojuntin

“Sahabat saya, mantan Senator Adrian Lasimbang telah mengambil gambar keadaan banjir yang baru berlaku di Penampang kelmarin menggunakan dron selepas tiga jam hujan turun. Dalam gambar itu, ternyata keadaan banjir di sepanjang tapak pembinaan lebuhraya tersebut lebih teruk daripada sebelumnya.


“Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Bung Moktar Radin sendiri telah menyatakan antara penyebab utama banjir di Penampang adalah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Projek ini melibatkan banyak penimbusan tanah yang pada musim hujan menjadi sebagai tembok penghalang aliran air banjir.


“Dua jambatan yang dibina oleh kontraktor Pan Borneo berjarak dua kilometer antara satu dengan lain. iaitu di Kg Monsopiad dan Kg Hubah mempunyai kecacatan reka bentuk. Laluan air kedua-dua jambatan terlalu kecil dan tidak dapat menampung aliran air banjir.


“Tambahan pula, kedua-duanya mudah sumbat dengan dahandahan kayu dan sampah sarap. Bila ini berlaku, ia menyebabkan hakisan tebing-tebing sungai dan membawa keadaan yang merbahaya kepada rumahrumah berdekatan,” jelasnya.


Tambahnya, beliau difahamkan bahawa lazimnya jururunding atau jurutera yang dipertanggungjawab untuk menyelia projek tersebut adalah bukan orang tempatan dan tidak mempunyai pengetahuan keadaan dan situasi tempatan.


Oleh itu, beliau meminta agar satu kajian dibuat secara segera daripada pihak Kerajaan Pusat bagi mengenalpasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak situasi di mana satu projek yang sepatutnya baik untuk semua, membawa padah kepada rakyat setempat dalam pelaksanaannya.

bottom of page