Dr. Mary Gambidau Dilantik Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan 2026
- nabalunews
- 54 minutes ago
- 2 min read

9 April 2026
KOTA KINABALU: Dr. Mary Gambidau, secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 (UNK 2026).
Pelantikan anak jati Telupid, itu menandakan satu amanah besar dalam menerajui penganjuran acara kebudayaan yang menjadi lambang identiti serta warisan masyarakat dan masyarakat budaya tempatan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menegaskan, pelantikan itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kedudukan Unduk Ngadau Kaamatan sebagai platform unggul bagi pemeliharaan, pemerkasaan dan penghayatan warisan budaya.

Selain itu katanya, ia juga meningkatkan peranan wanita muda sebagai pewaris tradisi serta pemimpin masa hadapan komuniti.
“Seiring dengan itu, Datuk Joanna Datuk Kitingan dilantik sebagai Penasihat UNK 2026. Beliau akan berperanan memberikan panduan strategik serta sokongan kepimpinan kepada Jawatankuasa Penganjur dalam memastikan kelancaran dan kecemerlangan penganjuran.
“Bagi memperkukuh tadbir urus penganjuran, Dr. Mary Gambidau telah menubuhkan Jawatankuasa Induk yang terdiri daripada Mandy Nandu sebagai Timbalan Pengerusi, Audrey Wilson Rantau sebagai Setiausaha dan Maureen J. Kananong sebagai Bendahari, bersama barisan ahli jawatankuasa tertinggi yang berpengalaman serta berwibawa dalam bidang masing-masing,” katanya.
Menurutnya, persiapan bagi UNK 2026 telah dimulakan seawal Februari dengan pelaksanaan beberapa inisiatif penambahbaikan, termasuk pelaksanaan penilaian awal finalis selaras dengan mandat daripada Jawatankuasa Pusat KDCA.
“Langkah ini bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme, ketelusan serta kualiti pemilihan peserta.
“Kemuncak penganjuran akan berlangsung sepanjang Minggu Unduk Ngadau Kaamatan 2026, dari 26 hingga 31 Mei 2026, yang bakal menghimpunkan seramai 52 finalis dari seluruh pelosok Negeri Sabah, termasuk yang bermastautin di Semenanjung Malaysia.
“Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai program rasmi, aktiviti kebudayaan, sesi penilaian dan inisiatif pembangunan jati diri akan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya.
Dalam pada itu, pihak penganjur turut mengesahkan bahawa Hilton Kota Kinabalu telah dipilih sebagai hotel rasmi bagi edisi tahun ini.
“UNK 2026 diyakini akan terus menggalas peranan signifikan sebagai platform berprestij dalam memelihara, memartabatkan dan melestarikan warisan budaya turun temurun, memperkasa peranan wanita sebagai penerus tradisi serta memperkukuh identiti dan jati diri masyarakat Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.











