Dua Bot Penumpang Bertembung, Seorang Kru Hilang
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

9 Januari 2026
SEMPORNA: Seorang kru dilaporkan hilang manakala empat yang lain cedera selepas dua bot penumpang bertembung dalam kejadian di kedudukan 0.3 batu nautika timur Jeti Pelancong Semporna, pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan melalui talian kecemasan 999 pada kira-kira jam 11.30 pagi.
Katanya, hasil maklumat awal mendapati, bot pertama yang membawa lima kru mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran berkenaan.

“Empat mangsa termasuk juragan bot dilaporkan cedera dan telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, seorang lagi kru bot berkenaan yang dikenali sebagai Rosman Kandau, 24, disahkan hilang di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bagi bot kedua yang terlibat dalam perlanggaran itu pula membawa dua
kru dan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Susulan laporan berkenaan, operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 1.50 petang bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
Operasi pencarian melibatkan aset Bot CENDERAWASIH 09 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Bot PSC 58 milik Pasukan Polis Marin (PPM).
“Pencarian dijalankan meliputi kawasan seluas tiga batu nautika persegi dan operasi
CARILAMAT kini masih diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Amir turut menasihatkan orang ramai, khususnya komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan keselamatan pelayaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Sehubungan itu, Amir turut meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pencarian mangsa tersebut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian (014-7870624) untuk tindakan segera.


















Comments