Dua Ditahan Bersama Dadah dan 890 Butir Peluru.
- nabalunews
- Jul 19, 2025
- 1 min read

19 Julai 2025
TAWAU: Dua lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu dan 890 butir peluru dalam operasi sekatan jalan raya ‘Snap Spotcheck’ di kawasan Jalan Timur, di sini, semalam.
Kedua-dua lelaki 35 dan 47 tahun yang menaiki sebuah kenderaan jenis van ditahan Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Tawau selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik ditahan untuk pemeriksaan, pemandu kenderaan didapati tidak memiliki lesen memandu.
Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sepaket plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu berat lebih kurang 0.14 gram.
“Polis turut menemui satu plastik hitam yang mengandungi kira-kira 890 butir peluru dipercayai milik penumpang van.
“Kedua-dua suspek yang juga warga tempatan terus ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.















Comments