Dua Ditahan Bersama Serbuk dan Air Ketum
- nabalunews
- Jun 13, 2025
- 1 min read

13 Jun 2025
PENAMPANG: Dua lelaki ditahan bersama serbuk dan cecair disyaki air ketum dalam serbuan di sebuah bengkel di Putatan, di sini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 22 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui satu paket lutsinar berisi serbuk hijau dipercayai ketum seberat 3,282.57 gram.
Katanya, pasukan operasi turut merampas 20 botol plastik seberat 30,000 mililiter (ml) berisi cecair disyaki air ketum.
"Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah.
“Semakan rekod juga mendapati tiada sebarang kes jenayah lampau bagi kedua-dua individu terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sammy berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan terus dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
"Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah supaya segera melaporkan kepada berkuasa bagi membantu membanteras jenayah di daerah ini," katanya.















Comments