top of page
nabalunews

Dua kebakaran tidak sampai 24 jam di Lahad Datu, boleh dielak


21 September 2024 

Oleh Wartawan Nabalu News 


LAHAD DATU: Dua kebakaran yang berlaku dalam tempoh kurang 24 jam di daerah ini semalam, boleh dielakkan, sekiranya setiap rumah ada menyediakan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, kejadian di Kampung Dewata Batu 21, Jalan Lahad Datu - Kunak pada Jumaat petang dan di Tanjung Labian pada Khamis malam, wajar dijadikan pengajaran bermakna buat seluruh masyarakat.


Ini kerana, katanya, terdapat beberapa persamaan dalam kedua-dua kes itu, antaranya rumah diperbuat daripada kayu; jarak yang jauh dari Balai Bomba (KPI 3); saiz rumah yang besar sehingga mengakibatkan kerugian besar dan terdapat penghuni semasa kebakaran mula berlaku.


"Hasil siasatan awal mendapati, ada usaha dari penghuninya untuk memadam kebakaran di peringkat awal, namun tidak berjaya kerana tiada medium pemadaman sesuai yang tersedia di dalam rumah tersebut.


"Sekiranya penghuni atau pemilik rumah berkenaan memiliki sekurang-kurangnya sebiji alat pemadam api, besar kemungkinan kerugian ratusan ribu ringgit dapat dielakkan,"katanya lagi.


Sehubungan itu, Sumsoa menyeru masyarakat daerah Lahad Datu supaya membeli alat pemadam api kerana modal tidak sampai RM200, tetapi mampu memberi jaminan dapat mengurangkan risiko kerugian besar akibat kebakaran, jika api berjaya dipadam di peringkat awal.


"Ingatlah, api semasa kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Sediakan payung sebelum hujan," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Dalam kebakaran di Kampung Dewata pada jarak 36 kilometer (km), BBP Lahad Datu menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang yang mengakibatkan sebuah rumah berkeluasan 25 X 38 terbakar 100 peratus.


Salah seorang penghuninya, Almizan Alsin, 27, turut cedera di kaki dalam kejadian itu.


Terdahulu, sebuah rumah di Tanjung Labian pada jarak 122 km turut musnah sepenuhnya dalam kejadian jam 9.40 malam, pada Khamis.

Comments


bottom of page