• Wartawan Nabalu News

DUA KLUSTER BAHARU DI PENAMPANG DAN PADAWAN PAPAR



24 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini, dikenali sebagai Kluster Taman Deluxe Penampang dan Kluster Kg Padawan di Papar. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Taman Deluxe di Penampang melibatkan jangkitan dalam komuniti ketika sambutan Aidilfitri.

“Kes indeks merupakan suri rumah, 68, dari Kg Bubul Batu 2, Semporna yang merentas daerah untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama anak-anaknya di Taman Deluxe, Penampang pada 15 Mei 2021, sebelum dikesan positif RTK-Ag 100% pada 19 Mei 2021 hasil saringan bergejala. “Setakat jam 12 tengah hari 24 Mei, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bagi kluster ini ialah 12 orang daripada 14 orang yang disaring. “Berdasarkan siasatan awal, punca perebakan berkemungkinan besar berlaku semasa sambutan hari raya di Kg Batu 2, Semporna pada 13 hingga 15 Mei lalu. Aktiviti siasatan masih diteruskan di lapangan untuk menyiasat punca jangkitan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini. Masidi berkata, Kluster Kg Padawan di Papar pula mula dikesan pada 22 Mei lalu di Klinik Kesihatan Inanam hasil saringan bergejala.

Beliau berkata, kes indeks ialah wanita, 50, dari Kg Dambai Inanam bersama tiga anaknya disahkan positif RTK-Ag. “Susulan kes itu, enam ahli keluarga kepada kes indeks dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes. “Khuatir dengan risiko tersebut, 36 saringan RTK-Ag dilakukan di klinik swasta sebagai inisiatif oleh kontak serta ahli keluarga kepada kes indeks. “Pejabat Kesihatan Daerah Papar juga telah menjalankan 113 ujian saringan RT PCR ke atas kontak rapat lain yang menghadiri majlis tersebut,” katanya. Masidi berkata, berdasarkan maklumat dan penelitian awal, jangkitan Covid-19 dipercayai menular semasa majlis pengebumian di Kg Padawan pada 17 Mei lalu. Katanya, majlis terbabit juga dihadiri keluarga terdekat dari beberapa daerah dengan kegagalan pematuhan SOP sepanjang tiga hari, termasuk aktiviti makan bersama serta berkumpul beramai-ramai pada sebelah malam.