• Wartawan Nabalu News

Dua kluster baharu dikesan di SK Dalas, PGA Kem Kinarut



28 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan SK Dalas Kota Belud dan pekerja bahagian Pentadbiran PGA Kem Kinarut Papar.


Mentri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu dikenali sebagai Kluster Batu 24 Nabalu - Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kluster Pesiaran Palma - Papar, Penampang, Tuaran.


Beliau berkata, Kluster Batu 24 Nabalu adalah kluster jenis institusi pendidikan. Kluster berlaku melibatkan pelajar, ahli keluarga pelajar dan guru-guru SK Dallas.


“Selain itu, kluster ini juga melibatkan pesakit yang tinggal di daerah Kota Kinabalu dan Tuaran.


“Kes indeks merupakan wanita tempatan, 31, yang didapati positif RT PCR pada 17 Januari 2022 dan mendapatkan rawatan. Saringan terhadap kontak keluarga mendapati tiga lagi murid SK Dallas positif.


“Saringan terhadap kontak rapat mengesan tiga murid terdiri dari ahli keluarga dan rakan sekelas menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 22 kes. Semua kes positif telah diasingkan dan diberi rawatan

yang selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Masidi berkata, Kluster Pesiaran Palma - Papar, Penampang, Tuaran pula dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.


Beliau berkata, kluster ini terjadi di Papar namun turut melibatkan kes yang tinggal di Tuaran dan Penampang.


“Kes indeks juga wanita, 38, pekerja di bahagian Pentadbiran PGA Kem Kinarut Papar yang mula bergejala sejak 22 Januari 2022 dan dikesan positif hasil saringan bergejala di Pejabat Kesihatan Papar.


“Saringan terhadap kontak sekerja dan ahli keluarga mendapati sebanyak 24 lagi kes positif dengan enam kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.


“Penularan jangkitan disyaki berpunca daripada sambutan majlis hari jadi di pejabat berkenaan pada 17 Januari 2022. Semua kes telah di asingkan dan diberi rawatan yang sesuai,” katanya.