Dua kluster baharu dikesan di Telupid dan TongodDua kluster baharu dikesan di Telupid dan Tongod
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Dua kluster baharu dikesan di Telupid dan Tongod



31 Julai 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu ditekodkan hari ini melibatkan jangkitan dalam komuniti dikesan di Telupid dan Tongod.


Kluster itu dikenali sebagai Kluster Gambaron Dua - Telupid dan Kluster Jalan Corak - Tongod.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Gambaron Dua - Telupid adalah kluster komuniti yang dipercayai menjangkiti dalam kalangan jemaah masjid seterusnya merebak kepada ahli keluarga.


Beliau berkata, kes indeks merupakan lelaki, 29, yang bergejala sejak 22 Julai 2021 sebelum disahkan positif (RTK-Ag grading 100%) di Klinik Kesihatan pada 23 Julai 2021.


“Berdasarkan siasatan, kes indeks mendapat jangkitan daripada seorang rakannya iaitu lelaki, dari Tawau yang disyaki menjadi kontak kes positif di Ladang FGV Tanah Mas, Telupid.


“Sepanjang tiga hari bermula 15 Julai 2021 di Kg Gambaron 2, kes indeks bersama rakannya itu menunaikan solat di Masjid Pekan Telupid.


“Setakat hari ini, 95 individu telah disaring dan 53 daripadanya dikesan positif COVID-19 termasuk 41 kes baharu. Aktiviti siasatan dan kawalan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, Kluster Jalan Corak - Tongod pula menokok satu kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 12 kes.


Katanya, kes indeks bagi kluster kategori komuniti ini mula dikesan apabila suri rumah, 30, yang bergejala demam, batuk dan selesma disahkan postif COVID-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Tongod pada 26 Julai 2021.


“Siasatan awal mendapati, kes indeks bersama 14 rakannya mula mengalami gejala serupa sejak menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Telupid pada 24 Julai 2021 dan di antara mereka masih menuggu keputusan ujian RT-PCR.


“Saringan kontak juga mendapati sembilan lagi kes positif COVID-19 di sekitar kediaman kes indeks,” katanya.


Beliau berkata, setakat hari ini, aktiviti saringan, persampelan COVID- 19 dan disinfeksi masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung yang berdekatan.

bottom of page