DUA KLUSTER BAHARU DIREKODKAN HARI INI DI LAHAD DATU DAN KALABAKAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

DUA KLUSTER BAHARU DIREKODKAN HARI INI DI LAHAD DATU DAN KALABAKAN


1 Mei 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Lahad Datu dan Kalabakan hari ini, sebagai Kluster Jalan Kilang Dua di Lahad Datu dan Kluster Umas berlaku di Mukim Brumas, Kalabakan. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, sebanyak 11 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam Kluster Jalan Kilang Dua Lahad Datu. Beliau berkata, ini merupakan kali kedua kluster ini berlaku di kawasan tersebut selepas kluster tersebut didaftarkan pada Disember 2020. “Manakala Kluster Umas di Mukim Brumas, Kalabakan pula merekodkan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 34 kes. “Kes indeks di Lahad Datu ialah warganegara lelaki, 37, pekerja di kilang terbabit dan disahkan positif pada 23 April 2021 hasil saringan bergejala di Klinik Kesihatan Lahad Datu. “Saringan terhadap kontak rapat 10 lagi kes positif. Hasil penelitian, penularan jangkitan dipercayai berlaku akibat penggunaan tempat yang tertutup dan sempit ketika para pekerja berbuka puasa,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini. Masidi berkata, kes indeks di Kalabakan pula merupakan Pengurus Lesen Pekerjaan Felda Utara Kalabakan yang dikesan positif hasil saringan bergejala pada 22 April 2021. Katanya, hasil penelitian mendapati kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melakukan aktiviti di masjid seperti berbuka puasa dan pengagihan moreh bersama AJK masjid. "Seramai sembilan ahli keluarga indeks serta lapan orang jemaah di sebuah masjid turut disahkan positif selepas menjalani saringan kontak rapat," katanya. Beliau berkata, sehingga kini, aktiviti pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan masih giat dijalankan.

bottom of page