• Wartawan Nabalu News

Dua kluster baharu melibatkan banduan dan pelajar Asrama Jubilee SMK Tambulion



15 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan banduan di Penjara Kepayan dan pelajar Asrama Jubilee SMK Tambulion Kota Belud.


Kedua-dua kluster itu dikenali sebagai Kluster Tembok Kota Kinabalu 2 - Kota Kinabalu dan Kluster Jubi Tambulion - Kota Belud.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Tembok Kota Kinabalu 2 dikesan pada 01 Februari lalu dan hari ini menokok satu kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 104 kes positif Covid-19.


“Kluster jenis pusat tahanan ini melibatkan banduan di penjara lelaki serta kakitangan di Penjara Kepayan. Kes indeks adalah lelaki tempatan, 27, merupakan banduan yang bakal dilepaskan dari tahanan penjara.


“Saringan kontak rapat turut dibuat ke atas 431 individu. Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, Kluster Jubi Tambulion - Kota Belud pula merupakan kluster jenis institusi pendidikan yang menular dalam kalangan pelajar Asrama Jubilee SMK Tambulion dalam daerah Kota Belud.


Beliau berkata, kes indeks adalah pelajar lelaki, 17, yang dikesan melalui saringan bergejala pada 12 Februari lalu dan disahkan positif Covid-19 pada hari yang sama.


“Saringan terhadap 39 kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas mendapati pertambahan 21 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 22 kes termasuk 15 kes baharu hari ini.


“Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya.