AGC Perjelas Isu Pengampunan Anwar, Tolak Dakwaan Tun M
- nabalunews
- Jun 3
- 1 min read

3 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pengampunan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018 sebagai tidak sah.
AGC dalam kenyataan hari ini menjelaskan, pihaknya mengambil maklum mengenai kenyataan terbuka yang dibuat oleh Dr. Mahathir baru-baru ini yang menyatakan bahawa pengampunan itu tidak sah kerana tidak melalui persidangan Lembaga Pengampunan.
“Jabatan ini menegaskan bahawa suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-51 telah diadakan pada hari Rabu 16 Mei 2018, jam 11 pagi, di Istana Negara Kuala Lumpur.
“Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V dan turut dihadiri antaranya oleh Tun Dr Mahathir sendiri selaku Perdana Menteri ketika itu," menurut kenyataan itu.
Menurut AGC, atas nasihat Lembaga Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah bertitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan serta diberikan pembebasan serta merta berkuatkuasa bermula dari tarikh mesyuarat berkenaan.
Dalam pada itu, katanya, bagi tujuan mesyuarat tersebut, Peguam Negara juga telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan.
"AGC memandang serius perkara ini sebagai isu yang melibatkan kepentingan perlembagaan dan institusi. AGC juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar sama sekali," katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir dalam satu klip video TikTok mendakwa bahawa beliau telah menandatangani surat pengampunan berkenaan tanpa nasihat Peguam Negara pada waktu itu.
Comments