Pencarum KWSP wajar dibenar keluarkan sebahagian simpanan - PGIRM
- nabalunews
- 4 days ago
- 1 min read

16 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbangan langkah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan sebahagian simpanan mereka secara bersasar khususnya mereka yang berdepan tekanan kewangan.
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, pendekatan pengeluaran KWSP secara bersasar mampu menjadi penyelesaian yang lebih seimbang dalam membantu pencarum yang memerlukan tanpa menambah beban kepada kewangan negara.
Beliau merujuk kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menyatakan kerajaan tidak bercadang memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi buat masa ini meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Sekiranya kerajaan memilih untuk tidak memperkenalkan pakej rangsangan menggunakan dana kerajaan, langkah alternatif yang tidak membebankan fiskal negara wajar dipertimbangkan, iaitu membenarkan pencarum yang benar-benar terdesak mengakses sebahagian simpanan secara bersasar dan berperingkat.
“Pengeluaran KWSP secara bersasar bukan melibatkan wang kerajaan, sebaliknya merupakan simpanan milik pencarum sendiri yang dikumpulkan sepanjang tempoh mereka bekerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, PGIRM memahami keperluan kerajaan mengekalkan disiplin fiskal serta mengawal perbelanjaan negara dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.
Bagaimanapun, katanya realiti sebenar menunjukkan semakin ramai rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, komitmen hutang serta kehilangan sumber pendapatan.
“Terdapat juga pemerhatian bahawa sebahagian rakyat terpaksa mengambil pinjaman bagi menampung keperluan asas dan perbelanjaan harian, khususnya ketika musim perayaan semakin hampir.
“Jika kerajaan tidak mahu mengeluarkan dana kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi, mengapa rakyat juga tidak dibenarkan mengakses wang mereka sendiri ketika berdepan tekanan kewangan?,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, dasar yang lebih seimbang dan realistik amat diperlukan bagi memastikan rakyat tidak terus terperangkap dalam tekanan hutang serta peningkatan kos sara hidup.















Comments