top of page

Majikan disaran pertimbang beri cuti tambahan Aidilfitri

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 2 min read

16 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyeru majikan mempertimbang kelonggaran cuti kepada pekerja susulan pemberian cuti tambahan sempena Aidilfitri yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Kesuma dalam satu kenyataan memaklumkan, cuti tambahan itu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memperuntukkan kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari kelepasan am.


“Sehubungan itu, cuti yang diisytiharkan ini merupakan hari kelepasan am yang terpakai kepada pekerja sektor swasta tertakluk kepada seksyen 60D Akta Kerja 1955 [Akta 265].


“Berdasarkan peruntukan tersebut, majikan boleh menggantikan hari kelepasan am berkenaan dengan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja,” menurut kenyataan itu.


Tambah kenyataan itu, majikan perlu memaklumkan kepada pekerja berhubung pengaturan cuti tambahan tersebut sama ada diberikan pada tarikh yang diisytiharkan atau digantikan dengan hari lain yang sesuai.


Jelas Kesuma, jika pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan am yang diisytiharkan, mereka layak menerima kadar bayaran kerja pada hari kelepasan am sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.


“Sambutan perayaan seperti Aidilfitri adalah masa yang amat bermakna bagi pekerja untuk bersama keluarga dan orang tersayang, justeru pemberian kelonggaran akan memastikan pekerja meraikan Aidilfitri dalam suasana kebersamaan, keharmonian dan kesejahteraan.


"Dalam masa yang sama, Kesuma menggalakkan majikan mempertimbang pemberian kelonggaran cuti kepada pekerja sebagai sebahagian amalan pekerjaan yang prihatin dan progresif," katanya.


Menurut Kesuma, langkah itu juga selaras dengan usaha Kerajaan Madani untuk memperkukuh keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif serta berperikemanusiaan.


Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pemberian satu hari cuti tambahan bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menghargai usaha dan dedikasi rakyat yang bekerja keras sepanjang bulan Ramadan.


Beliau memaklumkan sekiranya Aidilfitri jatuh pada Jumaat (20 Mac), kerajaan akan mengisytiharkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti umum tambahan, atau cuti tambahan pada Jumaat (20 Mac) jika Aidilfitri jatuh pada Sabtu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page