top of page

Kapasiti penerbangan domestik ditambah sempena Aidilfitri – Loke

  • nabalunews
  • 27 minutes ago
  • 2 min read

16 Mac 2026


PUTRAJAYA: Kapasiti penerbangan domestik ditambah bagi menampung peningkatan permintaan sempena Aidilfitri, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata setakat ini, penerbangan domestik juga tidak ada yang dibatalkan oleh mana-mana syarikat penerbangan.


“Hari raya kita tambah penerbangan dan tiada penerbangan domestik yang dibatalkan. Yang dibatalkan itu melibatkan kawasan yang ada risiko,” katanya dalam sidang media di sini hari bagi mengulas perkembangan laluan udara susulan konflik di Asia Barat ketika ini.


Loke berkata kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan tempatan bagi mencari kaedah terbaik untuk mengurangkan kos operasi industri penerbangan.


“Kita tak nak lihat syarikat penerbangan kita ini batalkan penerbangan kerana kalau batalkan ia akan ada implikasi ekonomi,” katanya.


Susulan daripada itu, Loke berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan syarikat penerbangan dan pemain industri penerbangan bagi membincangkan langkah mitigasi kos.


Beliau berkata MOT akan membentangkan cadangan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan kerajaan untuk mengurangkan tekanan kos ditanggung syarikat penerbangan.


"Petang ini akan ada mesyuarat dengan MTEN dan kami akan membentangkan cadangan untuk melihat cara bagaimana kita dapat mengelakkan kos untuk penerbangan,” katanya.


Dalam pada itu, Loke berkata konflik di Asia Barat sememangnya memberi kesan kepada sektor penerbangan global termasuk melibatkan pengurangan penumpang dari rantau berkenaan.


“Sepanjang dua minggu ini memang ada sedikit pengurangan penumpang dari Asia Barat kerana konflik yang masih berlaku di kawasan tersebut,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata keadaan itu turut membuka ruang kepada syarikat penerbangan tempatan menampung permintaan penerbangan ke destinasi lain khususnya ke Eropah.


“Contohnya, Malaysia Airlines ada permintaan yang lebih tinggi untuk penerbangan ke London dan Paris kerana penumpang kini mempunyai pilihan yang lebih terhad melalui hab di Asia Barat,” katanya. -Bernama

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page