DUA KLUSTER BAHARU MELIBATKAN SIPITANG, KENINGAU

18 Mac 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Kg Malaman di daerah Sipitang dan Kluster Kampung Padang Tembak di daerah Keningau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Kg Malaman menokok enam kes baharu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 14 kes.
“Kes indeks merupakan guru wanita di salah sebuah sekolah rendah di Sipitang, berusia 37 tahun dan disahkan positif melalui saringan kemasukan wad akibat pendarahan ketika mengandung.
“Saringan kontak di sekolah tersebut mendapati empat lagi guru bersama seorang pekerja kantin dan tujuh pelajar positif Covid-19.
“Selepas saringan, seorang lagi kontak rapat kepada kes indeks (di luar sekolah) didapati positif Covid-19. Aktiviti pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Masidi berkata, Kluster Kampung Padang Tembak di daerah Keningau pula menambah enam kes baharu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 21 kes.
Katanya, kes indeks merupakan seorang pelajar, berusia 15 tahun yang menjalani saringan untuk merentas negeri (Wilayah Persekutuan Labuan) pada 07 Mac.
‘Hasil penelitian, jangkitan menular ekoran aktiviti rentas negeri dan daerah oleh ahli keluarga kes indeks, di samping pergerakan kerap kes indeks ke rumah saudara mara di Kg Padang Tembak Keningau. Saringan kontak rapat masih giat dijalankan,” katanya.
Comments