Dua maut termasuk kanak-kanak di Sandakan
- nabalunews
- Aug 24, 2024
- 2 min read

24 Ogos 2024
SANDAKAN: Dua termasuk seorang kanak-kanak maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Batu 17 Jalan Labuk, Sandakan, kira-kira 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata mangsa yang maut adalah seorang lelaki berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun.
"Seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia berumur 33 tahun dan seorang penumpangnya meninggal dunia setelah terbabit kemalangan dengan sebuah lori," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya siasatan awal polis mendapati, ketika kejadian, Perodua Axia berkenaan bergerak dari arah Ranau ke Sandakan bersama 4 orang penumpang yang lain.
Manakala lori yang dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun bergerak di laluan bertentangan.
Tiba di lokasi kemalangan Perodua Axia itu hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.
"Pemandu Perodua Axia, Jaslin Mein dan penumpangnya seorang kanak kanak perempuan berumur 6 tahun, Rezcya Rizam meninggal di lokasi kejadian.
"Manakala tiga lagi penumpang Perodua Axia yang lain iaitu seorang lelaki berumur 34 tahun, kanak kanak perempuan berumur 11 dan 9 tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan untuk rawatan lanjut. Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Abdul Fuad berkata kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.09 pagi.
“Sebaik jentera tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan bertembung dengan Perodua Axia. Terdapat lima mangsa terbabit dilaporkan.
“Tiga mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi manakala dua mangsa tersepit,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Tiga lagi mangsa iaitu dua kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki dewasa yang cedera dihantar ke hospital oleh ambulans KKM,” katanya.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain wujud, operasi bomba ditamatkan pada jam 10.15 pagi.
Kommentare