top of page

Dua Rentung Kebakaran Kampung Pulau Penampang

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 1 min read

20 Mei 2025


KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas dan cucunya rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kebakaran di Kampung Pulau Penampang, awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Ruslia@Gisis Guntamas, 80, ditemui berada berhampiran cucu perempuannya Joeynita Abdul Alip, 14 tahun.


Difahamkan, rumah berkenaan dihuni oleh enam sekeluarga namun empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Negeri, Muhammad Taqiuddin Victor Doon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.22 pagi.


Katanya, sepasukan 27 anggota dan pegawai termasuk pasukan bantuan dari BBP Lintas bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba di lokasi mendapati, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal di Lorong Gusin 3, yang terbakar hampir 90 peratus.

“Pasukan Bomba terus melaksanakan operasi pemadaman dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.55 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, makluman dari penghuni rumah, dua orang mangsa iaitu seorang wanita warga emas dan seorang remaja perempuan telah terperangkap di dalam rumah tersebut.


Katanya, sebaik api dipadamkan, mangsa pertama berjaya ditemui pada jam 7.13 pagi sebelum cucunya dikeluarkan 20 minit selepas itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda ketika ditemui di lokasi berkata, mayat kedua-dua mangsa akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospita Queen Elizabeth I (HQEI) untuk membantu siasatan lanjut.


Katanya, pihaknya masih menunggu laporan lanjut daripada Pasukan Forensik Bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

コメント


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page