Dua rumah, tiga kereta musnah dalam kebakaran pagi tadi
- nabalunews
- Oct 17
- 1 min read

17 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Dua buah rumah dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran awal pagi tadi di Taman Mutiara Luyang, di sini. Namun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 3.50 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi pada jam 3.57 pagi.
Operasi turut dibantu oleh BBP Lintas dengan kekuatan keseluruhan seramai 25 anggota.
“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis kekal. Rumah pertama berkeluasan 100x22 kaki terbakar 100 peratus, manakala rumah kedua berkeluasan sama terbakar sebanyak 50 peratus,” katanya.
Tambah kenyataan itu, tiga buah kereta jenis Perodua Myvi, Toyota Unser dan Toyota Landcruiser turut musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
“Operasi pemadaman dijalankan secara offensive dan defensive menggunakan dua aliran 400 kaki serta empat pancutan dengan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran,” jelasnya.
Pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan kediaman berhampiran dan sebanyak 22 buah rumah berjaya diselamatkan.
“Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan. Semua penghuni telah keluar dari rumah sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya lagi.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.58 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.


















Comments