Dua RUU lulus sidang khas DUN, kumpulan Shafie, Bung dan Peter tidak hadir
top of page
  • Farah Salim

Dua RUU lulus sidang khas DUN, kumpulan Shafie, Bung dan Peter tidak hadir


10 Januari 2023

Oleh Farah Salim


KOTA KINABALU: Walaupun kemelut politik negeri Sabah belum selesai dengan ketidakhadiran beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) namun Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berjaya meluluskan dua rang undang-undang (RUU).


RUU itu adalah berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Persekutuan kepada Sabah dan penubuhan suruhanjaya tenaga.


Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata dua usul iaitu pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah 2023 dan Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 diluluskan dengan suara majoriti.


Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah 2023, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, RUU itu bertujuan mewujudkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).


“Dengan adanya Rang Undang-Undang ini, ia akan memberi kuasa kepada Suruhanjaya untuk menjalankan tanggungjawab kuasa kawal selia bagi sektor pembekalan gas di negeri Sabah agar segala aktviti sektor pembekalan gas yang dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif dan efisyen,” katanya.


Hajiji berkata Cadangan pengambilalihan kuasa kawal selia akan dilaksanakan secara dua fasa.

 

“Fasa pertama iaitu pada Januari 2023 akan melibatkan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan gas yang pada masa ini di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan melalui Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas) dan Akta Bekalan Gas 1997.

 

“Fasa kedua yang dirancang oleh Kerajaan Negeri pada April 2023 akan melibatkan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu yang pada masa ini di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan melalui Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi elektrik), Akta Bekalan Elektrik 1990, Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011, dan Akta Tenaga Boleh Baharu 2011,” katanya.


Sementara itu ketika membahaskan usul itu, Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, usaha mengambil alih kuasa bekalan gas, elektrik dan sektor tenaga itu adalah sebahagian daripada merealisasikan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditunggu-tunggu rakyat Sabah sejak sekian lama.


“Sepatutnya inilah fokus kita untuk menuntut hak-hak kita dalam MA63, Perlembagaan Persekutuan dan bukan lain-lain hal seperti ‘susun menyusun kerusi’ di dewan ini,” katanya.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Penampang turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa antara parti dalam DUN Sabah antara lain bagi berbincang serta menyusun usaha menuntut hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan menerusi DUN Sabah.


Bagi Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023, Hajiji berkata, ia bertujuan untuk mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas merangkumi bekalan gas daratan (on shore) iaitu pengimportan gas ke terminal penggasan semula, pemprosesan gas, penggasan semula gas, pengiriman gas, pengangkutan/ penghantaran gas, pengagihan gas, peruncitan gas dan penggunaan gas.


“Dengan adanya Rang Undang-Undang ini, ia akan memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal selia sektor pembekalan gas di negeri Sabah agar segala aktviti sektor pembekalan gas yang dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif dan efisyen,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page