Dua suspek dadah ditahan
- nabalunews
- Mar 23
- 1 min read

23 Mac 2025
PENAMPANG: Dua lelaki yang disyaki melakukan aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini berjaya ditahan polis dalam dua operasi berasingan, semalam.
Hasil kejayaan kedua-dua tangkapan, polis berjaya merampas 22.45 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM3,340.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, suspek memiliki satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine.
“Dadah yang berjaya dirampas daripada suspek adalah seberat 5.45 gram dengan nilai dianggarkan sebanyak RM790.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama juga positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sammy berkata, manakala tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun.
Katanya, suspek didapati memiliki satu paket plastik hitam berisi ketulan hablur jernih disyaki Methamphetamine.
“Dadah yang dirampas daripada suspek kedua adalah seberat 17 gram dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM2,550,” katanya.
Sammy berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun serta sebatan tidak kurang daripada tiga kali, jika disabitkan kesalahan.
“Suspek pertama juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun,” katanya.
Sehubungan itu, Sammy berkata, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti penyalahgunaan dadah agar segera tampil menyalurkan maklumat untuk tindakan segera.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi polis atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Comments