Dua Suspek Terlibat Tujuh Kes Pecah Rumah Diberkas
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

16 Mei 2025
RANAU: Dua suspek yang dipercayai terlibat dengan tujuh kes pecah rumah sekitar daerah ini berjaya ditahan polis, semalam.
Kedua-dua lelaki warga tempatan terbabit ditahan kira-kira jam 7.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, penahanan kedua-dua suspek dilakukan untuk siasatan kes pecah rumah yang dilaporkan oleh beberapa mangsa.

Katanya, sebaik ditahan, pasukan operasi berjaya merampas pelbagai barang daripada suspek yang dipercayai hasil curi.
“Antara barangan yang dirampas ialah barang kemas, wang tunai mata wang asing, kenderaan serta beberapa dokumen penting mangsa pecah rumah
“Semakan mendapati, suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, samun dan pecah rumah, manakala suspek kedua pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine dan Amphetamine.
Mursalin berkata, berikutan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah membabitkan kerugian RM149,363
Sementara itu, Mursalin berkata, kejayaan ini adalah hasil kecekapan dan komitmen pasukan BSJD IPD Ranau dalam membanteras kegiatan jenayah serta menjamin keselamatan awam di daerah ini.
Katanya, masyarakat dinasihatkan supaya terus bekerjasama untuk menyalurkan maklumat kegiatan jenayah di daerah ini kepada pihak polis.
Comments