Kerajaan serius tangani ketirisan wang awam, salah guna kuasa
- nabalunews
- 52 minutes ago
- 1 min read

12 Mac 2026
PUTRAJAYA: Kerajaan memandang serius isu ketirisan wang awam dan salah guna kuasa yang bukan sahaja merencatkan tadbir urus negara, malah menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu ditegaskannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) hari ini.
Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi dalam memerangi rasuah, sebaliknya usaha tersebut perlu diperkukuh melalui pembudayaan integriti dan amalan tatakelola yang baik secara menyeluruh melibatkan sektor awam, swasta serta masyarakat.
“Sewaktu mempengerusikan mesyuarat JKKTN, saya menegaskan keseriusan isu ketirisan wang awam dan salah guna kuasa yang bukan sahaja merencatkan tadbir urus negara, malah menjejaskan kesejahteraan rakyat, termasuk kesihatan awam, alam sekitar dan integriti nasional.
“Antara dipersetujui di dalam mesyuarat ini ialah pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), pengukuhan agenda pencegahan rasuah negara berasaskan penyertaan semua pihak serta pemerkasaan koordinasi strategik antara agensi,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.
Anwar berkata, kerajaan kekal komited memperkasa agenda tatakelola bagi memastikan integriti dan ketelusan terus menjadi teras dalam perkhidmatan awam.
Ujar beliau, langkah itu penting bagi menjunjung amanah rakyat selain memperteguh keyakinan masyarakat terhadap institusi negara.











