Dua Vesel Pukat Jerut Bilis Ditahan Maritim Malaysia
- nabalunews
- Jun 26
- 1 min read

25 Jun 2025
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua vesel pukat jerut bilis secara berasingan di sekitar di perairan Tabawan, Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua vesel pukat jerut bilis itu ditahan di kedudukan 0.37 batu nautika timur dari Madai kira-kira jam 11.30 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel pukat jerut bilis pertama dikendalikan dua warga tempatan bersama dua warga asing berusia lingkungan 28 hingga 65 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel yang dikendalikan empat individu terbabit membawa hasil tangkapan seberat 5 kilogram.
“Manakala bot kedua pula dikendalikan empat individu termasuk dua warga Filipina berusia lingkungan 15 hingga 23 tahun turut membawa hasil tangkapan seberat empat kilogram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua warga asing memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua vesel melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Kesalahan yang dikesan ialah melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan terhampir.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang ingkar dengan syarat lesen, khususnya mereka yang menangkap ikan dalam zon larangan.
“Peraturan jarak ini ditetapkan bagi menjaga ekosistem marin dan memastikan sumber perikanan negara kekal mampan,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulfikhar berkata, kedua-dua bot, kru serta hasil tangkapan terus dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan untuk tindakan penguatkuasaan segera.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi Whatapp di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.
Comments