Dua wanita cedera kereta terjunam gaung
26 Disember 2024
TAWAU: Dua wanita cedera apabila kereta jenis Proton Iriz yang mereka naiki dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam empat meter di Jalan Ranggu, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 33 dan 31 tahun itu dikejarkan ke hospital menggunakan Ambulans selepas dikeluarkan oleh pasukannya.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 7.40 pagi dan tiba di lokasi pada jam 7.57 pagi bersama sepasukan lapan anggota dan dua jentera.
"Kedua-dua mangsa mengalami cedera ringan dalam kejadian ini, namun, dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jemishin berkata, operasi ditamatkan jam 8.19 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Comments