• nabalunews

DUN SABAH LULUS BANTUAN COVID-19 BERJUMLAH RM375.12 JUTA


16 Nov 2020

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan Kedua 2020 lebih RM709.64 juta dengan RM375.12 juta daripadanya diperuntukkan untuk bantuan menangani pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, yang juga Menteri Kewangan Sabah, ketika membentangkan RUU itu berkata RM160 juta diperuntukkan sebagai Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 kepada rakyat yang terkesan dan terjejas teruk serta sebagai usaha membendung dan menangani penularan pandemik berkenaan.

Katanya. sebanyak RM78.26 juta diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk imbuh balik kehilangan hasil antara lain bagi insentif seperti pengurangan cukai pintu, pengecualian bayaran lesen penjaja dan sewa gerai.

"RM36 juta kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk kehilangan hasil akibat pengurangan 28 peratus bil elektrik pengguna domestik bagi tempoh April hingga Jun 2020," katanya ketika membentangkan RUU itu di Bangunan DUN Sabah, di sini. hari ini.

Beliau berkata baki peruntukan bantuan COVID-19 itu berjumlah RM100.86 juta diagihkan kepada beberapa kementerian antaranya Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah sebanyak RM34.36 juta bagi memperluas peluang ekonomi dalam bidang agro makanan.

Selain itu, Hajiji berkata peruntukan berjumlah RM15 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk merangsang pemulihan sektor pelancongan, sementara RM10 juta kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah bagi membangunkan platform E-Dagang Berpusat Sabah.

Katanya, Kementerian Kewangan negeri Sabah diperuntukkan RM8 juta bagi memberi pinjaman tanpa faedah kepada pengusaha agro makanan manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah diperuntukan RM3.5 juta bagi pembayaran akhir bantuan COVID-19 kepada ketua isi rumah miskin dan miskin tegar.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah diperuntukkan RM20 juta bagi mempercepatkan peralihan kepada ekonomi digital dan RM10 juta untuk Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Sabah bagi memperkasa sumber manusia dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

"Peruntukan terbesar melibatkan aliran wang tunai (dalam RUU itu) adalah RM169.87 juta disyor bagi menampung keperluan di bawah Jabatan Ketua Menteri (JKM) yang meliputi Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 sebanyak RM135 juta," katanya.

Usul itu kemudian disokong Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum dibahaskan dan diluluskan dengan suara terbanyak.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan itu ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com