top of page

Ejen Hartanah Edar Ganja Ditahan

  • nabalunews
  • Oct 5
  • 1 min read

ree

5 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang bekerja sebagaoi ejen hartanah ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan pengedaran ganja dalam serbuan di sebuah apartment di Kepayan Ridge, di sini, semalam.


Serbuan kira-kira jam 9 malam itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.


Hasil serbuan, polis berjaya merampas pelbagai paket berisi bahan disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 238.33 gram.


Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek, pasukan operasi berjaya menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 105.64 gram.


Selain itu katanya, polis turut menemui dua bekas plastik berisi 26 paket kecil ganja dengan berat keseluruhan 132.69 gram.


"Siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan ganja dari Semenanjung, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,000.


"Setiap kali penghantaran, suspek membeli kira-kira 200 gram ganja yang kemudiannya dijual kepada pelanggan dalam kuantiti kecil lima gram dengan harga RM80 setiap satu," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Alhusin berkata, siasatan juga mendapati suspek mula aktif mengedar ganja sejak penghujung tahun lalu di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.


"Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah kereta Perodua Axia dan motosikal Kawasaki Ninja, selain tiga telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.


"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki berusia 28 tanun itu positif ganja," katanya.


Tambahnya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page