Pencalonan Madius di Tamparuli atas permintaan akar umbi, pertimbangan strategik
- nabalunews
- 39 minutes ago
- 2 min read

25 November 2025
KOTA KINABALU: Pencalonan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sebagai calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli dibuat atas permintaan akar umbi serta pertimbangan strategik yang teliti.
Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Tamparuli, Jeffry Teo berkata ia berdasarkan kehendak masyarakat tempatan yang mahukan seorang pemimpin berpengalaman, berwibawa dan mempunyai rekod khidmat kukuh dalam memperjuangkan hak rakyat.
Menurutnya, UPKO CLC Tamparuli sendiri menjadi antara pihak terawal yang menyuarakan sokongan supaya Madius diberi mandat bertanding di kawasan tersebut.
“Sokongan ini menunjukkan bahawa masyarakat tempatan tidak melihat Madius sebagai ‘calon dari luar’, tetapi sebagai pemimpin yang sudah lama berkhidmat dalam lingkaran Tuaran–Kiulu–Tamparuli dan memahami denyut nadi kawasan ini secara dekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Jeffry menegaskan pengundi Tamparuli tidak pernah menjadikan isu “calon luar” sebagai halangan, malah sejarah politik kawasan itu menunjukkan wakil rakyat terdahulu juga berasal dari Kiulu.
Pada pilihan raya kali ini, katanya, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga bukan anak tempatan Tamparuli.
“Pengundi di Tamparuli lebih menilai keupayaan, integriti dan rekod prestasi seseorang calon, bukannya poskod asal.
“Mereka mahu pemimpin yang mampu membawa pembangunan, menyampaikan suara rakyat dan mempertahankan hak Sabah,” ujarnya.
Dalam konteks ini, katanya, pencalonan Madius membawa nilai tersendiri kerana beliau mempunyai rekod kerja yang konsisten, termasuk ketika memimpin parti serta berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tuaran.
“Komitmen beliau memperjuangkan isu rakyat, termasuk hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan pembangunan infrastruktur di Tuaran serta kawasan sekitarnya, menjadi asas mengapa beliau diminta untuk bertanding di Tamparuli,” katanya.
Tambahnya, kemampuan Madius turun padang, mendekati masyarakat di pelbagai kampung dan membawa pendekatan politik matang menjadikan beliau bukan sahaja dikenali, tetapi diyakini mampu membawa perubahan lebih baik di kawasan itu.
Jelasnya lagi, pencalonan Madius adalah respons kepada kehendak rakyat Tamparuli sendiri, selain mengambil kira faktor sejarah kawasan, rekod prestasi, serta keperluan untuk meletakkan calon yang benar-benar berkemampuan dalam mendepani cabaran pembangunan.
“Justeru, keputusan ini bukan soal asal-usul calon, tetapi soal siapa yang paling layak dan paling diyakini untuk membawa suara Tamparuli ke peringkat negeri,” katanya.














